02 November 2011

Revolusi Oktober

Revolusi Oktober merupakan kejayaan terbesar yang diraih oleh kelas pekerja sehingga kini. Walaupun peristiwa-peristiwa tahun 1917 telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah, namun kita dapat mencari pelajaran mendalam dari revolusi tersebut.
Laungan Bolshevik: ‘Tanah, roti, kedamaian’ telah mencerminkan aspirasi rakyat pekerja Rusia dan fakta bahawa perdebatan kaum Bolshevik semakin mengambil hati rakyat. Namun Pemerintahan Peralihan tidak setuju dengan tuntutan tersebut dan tidak ingin berjuang menentang tuan-tuan tanah dan pemilik modal; malah, pemerintahan itu melihat gerakan pekerja sebagai musuh utuma. Oleh kerana serangan pihak majikan dan serangan ketenteraan baru di medan pertempuran, kaum pekerja dan perajurit telah mengadakan demonstrasi pada bulan Julai. Ramai di kalangan mereka sudah ingin menumbangkan Pemerintahan Peralihan.
Parti Bolshevik berpendapat bahawa, walaupun rakyat jelata sudah bersedia untuk revolusi di ibu negara, namun di bandar-bandar lain keadaannya tidaklah sebegitu, sehingga sebuah pemberontakan yang mungkin berjaya di ibu negara kemudiannya akan terpulau dan dihancurkan. Tetapi sebagai partai revolusioner, mereka tidak dapat menjauhkan diri daripada perjuangan rakyat jelata. Maka, mereka juga melibatkan diri dalam demonstrasi-demonstrasi sambil mencadangkan kesabaran. Oleh kerana sikap bersabar itu, kumpulan Bolshevik telah kehilangan sokongan di kalangan pelbagai sektor militan. Namun, mereka berjaya menjaga disiplin gerakan secara kesuluruhan dan menghindari sesuatu pemberontakan yang belum tiba masanya.
Pada minggu-minggu berikutnya, Pemerintahan Peralihan telah mengusahakan operasi penindasan yang ganas. Para pimpinan Bolshevik ditahan dan difitnah sebagai perisik-perisik Jerman. Akhbar-akhbar Bolshevik diharamkan, dan para aktivis terpalsa bergerak di bawah tanah. Lenin sendiri terpaksa bersembunyi.
Buat sementara waktu, gerakan pekerja telah mengalami perasaan putus asa dan kemunduran. Di tempat-tempat bekerja, pihak majikan telah berusaha untuk merampas kembali kawalan ke atas proses pengeluaran. Namun, kelas pekerja masih menguasai soviet-soviet mereka, sehingga serangan-serangan pihak majikan akhirnya dipatahkan. Dalam pada itu, kaum petani, yang tidak sabar menunggu pembahagian tanah oleh Pemerintahan Peralihan, akhirnya mengambil-alih tanah secara kolektif.
Serangan di medan pertempuran telah gagal, dan pihak tentera telah mula melerai, kerana para perajurit telah melarikan diri dan pulang ke desa. Melihat ini, sebahagian daripada pihak berkuasa dan Jeneral Kornilov telah memutuskan untuk merampas kuasa daripada pemimpin Pemerintahan Peralihan, iaitu Kerensky. Namun, ia menjadi jelas bahawa sasaran mereka bukan hanya Kerensky, tetapi juga gerakan revolusioner dan soviet-soviet. Oleh kerana itu, Parti Bolshevik telah membentukkan sebuah barisan perpaduan dengan kuasa-kuasa yang masih setia kapada Pemerintahan Peralihan. Tetapi sambil memimpin mobilisasi pekerja dan askar untuk mengalahkan Kornilov, mereka juga telah memulakan sebuah ‘peperangan’ politik menentang Kerensky.
Mereka menuntut agar kaum pekerja diberikan senjata untuk menentang kontra-revolusi, dan untuk memperjuangkan tanah, roti serta kedamaian. Hanya dengan cara itu semangat rakyat jelata dapat dibarakan untuk mengalahkan musuh.
Dalam masa beberapa hari, percubaan rampasan kuasa Kornilov telah gagal. Kekalahan di medan pertempuran juga disertai dengan kemenangan politik, kerana kaum Bolshevik semakin mendapat sokongan kelas pekerja, dan kelas pekerja itu pula semakin memahami keperluannya revolusi sosialis.
Bermula pada saat itu, keadaan politik telah diubahkan. Suasana di kalangan kelas pekerja menjadi semakin radikal dan ini dicerminkan dalam kandungan soviet-soviet. Para wakil di soviet itu dapat diganti pada bila-bila masa, sehingga menjelang akhir bulan Ogos, Parti Bolshevik telah meraih majoriti dalam soviet Petrograd, dan tidak lama kemudian juga telah menguasai soviet di Moskow. Trotsky telah menjadi presiden soviet di ibu negara seperti pada tahun 1905. Pada masa itu, Parti Bolshevik sudah menjadi pertubuhan utama di kalangan kelas pekerja, dan mendapat sokongan kuat daripada para perajurit dan petani. Jumlah ahli mereka telah meningkat dari beberapa ribu pada bulan Mac menjadi 250,000 ahli. Secara objektif, sebuah revolusi sudah menjadi kemungkinan. Namun, kesedaran rakyat bukanlah bersifat sama rata. Di kalangan sektor-sektor pekerja yang paling maju, jumlah aksi permogokan telah mula merosot, sambil beberapa sektor yang lain baru memulakan aksi permogokan seperti itu.
Fenomena ini sangatlah penting. Kaum pekerja yang paling maju telah menarik kesimpulan bahawa permogokan biasa tidak lagi mencukupi, bahawa tuntutan-tuntutan pekerja – bairpun tuntutan ekonomi mahupun tuntutan politik – tidak dapat dicapai dalam susunan sosial yang sedia ada. Dalam pada itu, kaum pekerja yang berkesedaran rendag juga sudah terlibat dalam konflik dengan pihak majikan; mereka kemudiannya menarik kesimpulan yang serupa.
Seperti yang ditulis oleh Trotsky:
Suasana revolusioner di kalangan rakyat jelata menjadi lebih kritikal, lebih mendalam, lebih resah. Rakyat jelata – terutamanya mereka yang pernah melakukan kesilapan dan mengalami kekalahan – mencari kepimpinan yang dapat diharapkan. Mereka ingin menjadi yakin bahawa kita mampu dan berkeinginan untuk memimpin, dan bahawa dalam pertempuran yang menentukan, mereka dapat mengharapkan kemenangan… Kaum proletariat mengatakan: tidak terdapat apa-apa lagi yang dapat diharapkan daripada permogokan, demonstrasi dan aksi pemberontakan semata-mata. Kini, kita mesti bertempur.
Setelah kegagalan rampasan kuasa Kornilov, Lenin semakin mendesak agar kaum Bolshevik mengamalkan taktik yang lebih agresif.
Dalam pandangan Lenin, dalam keadaan yang semakin tidak stabil, kelas pekerja harus merampas kekuasaan, jika tidak, mereka akan dihancurkan oleh kelas pemerintah. Kehancuran kaum pekerja semasa kekalahan Komun Paris, dan penindasan tajam setelah kegagalan revolusi tahun 1905, menjadi peringatan bagi dia. Pada masa krisis politik, sosial dan ekonomi yang tajam, peralihan secara damai menuju demokrasi borjuasi tidak mungkin berlaku. Seperti yang Trotsky menulis: andaikata kaum pekerja tidak merampas kuasa pada tahun 1917, perkataan ‘fasisme’ akan berasal dari Bahasa Rusia dan bukannya Bahasa Itali.
Dalam risalah yang berjudul Marxsisme dan Pemberontakan, yang disebarkan dengan luas, Lenin memaparkan prasyarat-prasyarat bagi pemberontakan revolusioner. Mereka harus “meyakinkan majoriti rakyat,” dan hal ini harus “terbukti dengan fakta-fakta objektif” seperti tercapainya sebuah majoriti dalam soviet-soviet, sokongan kuat bagi rancangan perjuangan Bolshevik, sokongan di kalangan askar dan kaum petani, dan kelesapan keyakinan pemerintahan yang sedia ada untuk menamatkan peperangan dan memulihkan ekonomi.
Pada pendapat Lenin, kesemua prasyarat ini sudah dipenuhi. Tetapi bagaimanakah caranya untuk menyelenggarakan pemberontakan tersebut?
Soviet-soviet telah mendirikan sebuah Majlis Ketenteraan Revolusioner untuk membela revolusi dan menentang Kornilov. Trotsky meyakinkan Lenin bahawa Majlis inilah (dan bukan organ-organ Parti Bolshevik) yang harus menjadi pengaju pemberontakan, kerana soviet-soviet mewakili seluruh kelas pekerja.
Pada masa itu, Lenin dan Trotsky masih juga terpaksa menghadapi tentangan dalam Parti Bolshevik itu sendiri. Mereka disokong dengan kukuh oleh akar-umbi parti (termasuk ramai pekerja yang telah diradikalisasi). Namun, sebahagian daripada kader lama agak terpegun dengan perkembangan tahun 1917 yang begitu pesat, dan berasa takut dengan penindasan yang mereka telah mengalami pada bulan Julai.
Lebih-lebih lagi, pada saat Lenin, Trotsky dan Majlis Ketenteraan Revolusioner sedang merencanakan pemberontakan, dua tokoh Bolshevik terkemuka, iaitu Zinoviev dan Kamenev, telah membelot kepada pihak musuh. Beberapa hari sebelum bermulanya pemberontakan, mereka telah memberikan maklumat mengenai pemberontakan itu kepada sebuah akhbar anti-Bolshevik. Lenin telah menjadi marah dan mendesak agar mereka dipecat, tetapi majoriti majlis Pusat tidak setuju. Fakta-fakta ini agak bertentangan dengan prasangka sayap kanan bahawa Parti Bolshevik itu bersifat pemerintahan mutlak dan bahawa Lenin merupakan seorang diktator.
Di bawah kepimpinan Trotsky, soviet Petrograd telah menyatakan bahawa arahan-arahan pihak berkuasa dalam tentera tidak boleh dilaksanakan sebelum arahan tersebut disetujui oleh Majlis Ketenteraan Revolusioner. Balasan pihak berkuasa adalah untuk melarang akhbar Bolshevik, menahan Trotsky dan memulakan rancangan menangkap seluruh kepimpinan Bolshevik.
Maka telah tibanya masa untuk pihak revolusioner bertindak. Pada malam 24hb Oktober, rombongan-rombongan pekerja telah mengambil-alih stesen-stesen keretapi, pejabat-pejabat pos, pusat-pusat telefon, gudang-gudang senjata, bank-bank dan perusahaan-perusahaan pencetakan. Hampir tidak terdapatnya tentangan, sehingga pada keesokan hari, pada pukul 10 pagi, kaum Bolshevik dapat mengumumkan bahawa Pemerintahan Peralihan telah ditumbangkan. Istana Musim Sejuk terpaksa diserbu oleh pihak Bolshevik, tetapi pengambil-alihan Istana juga telah berlaku tanpa pertumpahan darah. Pemerintahan Peralihan tersebut begitu kehilangan kepercayaan rakyat sehingga tidak terdapat kekuatan di kalangan masyarakat yang sanggup mempertahankannya. Pertempuran penentuan telah berlaku di Moskow. Namun, dalam jangka masa pendek, revolusi telah berjaya.
Pada 26hb Oktober, kongres soviet telah mendirikan pemerintahan baru yang dikuasai oleh Parti Bolshevik, dengan perlibatan kaum Revolusioner Sosial dan pelbagai tokoh Menshevik. Pemerintahan baru ini menyatakan bahawa semua tanah akan menjadi milik kaum petani (kenyataan ini sememangnya hanya mengesahkan seseuatu proses yang sudah berlaku di merata-rata) dan menuntut agar peperangan ditamatkan tanpa pencabulan oleh mana-mana pihak.
Pemberontakan Bolshevik pada bulan Oktober 1917 sering dilukiskan sebagai sesuatu rampasan kuasa oleh golongan minoriti. Dalam amalan, semua pemberontakan tentu sahaja akan dipimpin oleh sebuah minoriti. Tetapi kita perlu bertanya, adakah pemberontakan tersebut disokong oleh majoriti, dan siapakah yang memegang kuasa dalam susunan sosial baru?
Rampasan kuasa oleh Pinochet di Chile pada tahun 1973, misalnya, jelas tidak disokong oleh rakyat jelata. Beribu-ribu pekerja dibunuh atau dipenjarakan. Ini adalah bertentangan dengan revolusi Bolshevik, yang disokong oleh majoriti. Ini disahkan oleh pihak musuh pula. Sukhanov, seorang pakar sejarah Menshevik, menulis, “Segala perbincangan mengenai sesuatu konspirasi ketenteraan adalah melucukan… sebenarnya, parti [Bolshevik] disokong oleh majoriti besar rakyat…” Sementara itu, Martov, seorang pemimpin Menshevik, mengatakan, “Cubalah mengerti, apa yang terjadi di hadapan mata kita adalah kebangkitan kaum proletariat – hampir seluruh proletariat menyokong Lenin dan mengharapkan kebebasan mereka akan dicapai oleh kebangkitan ini.” Penulis sejarah bernama Robert Service, yang tidak menyokong kaum Bolshevik, menulis, “Secara asasnya… rancangan politik Boshevik semakin mengambil hati para pekerja, perajurit dan petani … tanpa ini, revolusi Oktober tidak mungkin terjadi.”
Namun wartawan Amerika bernama John Reed mungkin melukiskan kenyataan itu dengan paling mengharukan. Dia mengingati suasana di Petrograd selepas berlakunya pemberontakan tersebut. “Seorang pekerja tua yang memandu kenderaan kami memegang roda dalam satu tangan, sambil tangan lainnya terayun menunjuk ke ibu negara yang bersinar. “Milikku!,” jeritnya dengan wajah bercahaya. “Kini semua ini milik saya! Petrograd saya!”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar